SMK Tinggi Perempuan Melaka - Sekolah Kluster Kecemerlangan

Friday, December 31, 2010

Majlis Pendaftaran Pelajar-Pelajar Tingkatan 1

Pada 31 Disember 2010 (Jumaat), SMK Tinggi Perempuan Melaka telah mengadakan Majlis PendaftaranPelajar-Pelajar Tingkatan 1 bertempat di Dewan SMK Tinggi Perempuan Melaka.

Majlis bermula pada jam 8.00 pagi ini bertujuan untuk mengalu-alukan kedatangan murid Tingkatan 1 Rancangan Khas dan Tingkatan 1 Kawalan bagi sesi persekolahan tahun 2011 ke SMK Tinggi Perempuan Sekolah Kluster Kecemerlangan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan taklimat oleh Yang Berbahagia Datin Hajah Norliah Binti Adam, Pengetua SMKTPM diikuti pendaftaran kelas dan asrama di kelas masing-masing. Murid-murid dan ibu bapa kemudiannya membeli barangan keperluan di koperasi dan di asrama yang menawarkan harga yang berpatutan dan berkualiti.

Objektif program ini ialah :
1) Memperkenalkan Visi dan Misi sekolah yang perlu dihayati oleh murid selaku warga baru di sekolah ini.
2) Memberikan pendedahan dan penghayatan budaya serta suasana pembelajaran di peringkat sekolah menengah.
3) Memberikan peluang untuk murid mengenali potensi diri serta merancang masa depan kerjaya sebagai murid SMK Tinggi Perempuan Melaka yang berprestij tinggi.
4) Mewujudkan perasaan bangga kerana terpilih sebagai murid di sekolah ini.
5) Menanamkan perasaan kecintaan dan sayang kepada sekolah.

Kehadiran murid-murid Tingkatan 1 selaku warga baru sekolah ini amat dialu-alukan sebagai langkah permulaan mencorakkan kejayaan di sekolah menengah yang penuh berprestij dan berpotensi dalam melahirkan insan yang cemerlang baik dalam bidang sahsiah, akademik dan kokurikulum. Majlis bersurai pada jam 12.00 tengah hari.










Thursday, December 30, 2010

MESYUARAT GURU BIL. 1

Pada 30 Disember 2010, Mesyuarat Guru Bil. 1 telah diadakan bermula jam 8.00 pagi bagi sesi persekolahan 2011. Mesyuarat ini diadakan bertempat di Bilik Mesyuarat SMK Tinggi Perempuan Melaka (SMKTPM). Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengetua SMK Tinggi Perempuan Melaka, Datin Hjh. Norliah Binti Adam ini berhenti rehat pada pukul 1.30 tengah hari dan pada guru dijamu dengan makanan tengah hari di kantin sekolah.

Agenda mesyuarat :
1) Ucapan Pengerusi
2) Pengesahan Minit
3) Bangkitan Minit
4) Pengagihan tugas guru dan jadual waktu serta taklimat
5) Hal-hal lain

Mesyuarat seterusnya diteruskan pada jam 2.00 petang dengan taklimat yang diberikan oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMKTPM, Pn. Hjh. Rubaiya Bt. Abu Nawas. Taklimat tersebut adalah berkisar tentang tugas dan peranan guru-guru Tingkatan bagi Majlis Pendaftaran Pelajar-Pelajar Tingkatan 1 yang akan diadakan pada 31 Disember 2010 (Jumaat) serta taklimat berkaitan Majlis Pendaftaran Asrama pada hari Ahad, 2 Januari 2011. Tujuan taklimat ini diadakan adalah untuk memastikan kelancaran perjalanan majlis tersebut selaras dengan visi sekolah iaitu SMK Tinggi Perempuan Melaka Sekolah Cemerlang dan Terunggul.